Saturday, November 8, 2014

Perang Kayangan

Pada zaman dahulu, Raja Gelonbang Angin dan Raja Si Halilintar memerintah di beberapa buah negeri di atas kayangan. Oleh kerana kedu-duanya tidak mahu mengalah, maka berlakulah perang yang besar dan dahsyat. Perang itu berlanjutan bertahun-tahun lamanya.

Tidak seorang pun daripada mereka yang mahu mengaku kalah. Mereka menggunakan segala kesaktian bagi menundukkan lawan. Segala jenis senjata digunakan. Namun kedua-dua pihak tetap gagah dan kuat menghadapi lawan.

 Dikatakan pada waktu itu, manusia di bumi sentiasa melihat kilat sabung-menyabung serta guruh yang dahsyat. Hal itu terjadi tidak lain dan tidak bukan adalah kerana peperangan kedua-dua raja kayangan itu.

Akhirnya perang itu sampai ke kemuncaknya. Kedua-duanya mahu menentukan siapakah yang paling gagah dan sakti antara mereka. Mereka pun bertemulah di sebuah padang yang luas. Rakyat kedua-dua belah pihak pun bersedialah untuk menghadapi lawan masing-masing.

Seketika kemudian berlakulah peperangan. Guruh dan kilat berselang-seli. Terlalulah dahsyat bunyi dan keadaannya.. Peperangan itu juga terdengar sampai ke bumi.

Dalam keadaan yang haru-biru itu, tiba-tiba memancarlah satu cahaya yang putih dari bumi. Sebentar kemudian kayangan pun bergoncang terlalu gamat. Tahulah kedua-dua raja itu bahawa hayat mereka telah sampai .

Goncangan yang kuat itu akhirnya memecahkan kayangan lalu jatuh bertaburan di bumi. Pecahan itu menjadi gunung yang bergua-gua di muka bumi. Gunung itulah yang menjadi pasak bumi. 

No comments:

Post a Comment