Saturday, September 21, 2013

Pokok Kurma Menangis Kerana Rindu Kepada Rasulullah SAW

Adik-adik, bukan hanya kita sebagai manusia sahaja yang rindu kepada Rasulullah SAW, tetapi ada sebatang pokok kurma yang menangis kerana rindukan Rasulullah SAW. Dengarkanlah cerita yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ini adik-adik.

                                                       Gambar sekadar hiasan.
                                               

Jabir r.a berkata, Rasulullah SAW pernah menyampaikan khutbah dan ceramahnya sambil berdiri memegang  sebatang pokok kurma. Seorang wanita telah mencadangkan kepada baginda dan berkata, " Ya Rasulullah, mahukah engkau kami dirikan sebuah mimbar?" Baginda menjawab, "Jika kalian memang menginginkannya, silalah!"

Maka para sahabat pun membuatkan sebuah mimbar untuk Rasulullah SAW. Pada hari Jumaat, baginda SAW melangkah menuju mimbar itu. Tiba-tiba pokok kurma yang biasa digunakan oleh nabi SAW menangis. Rasulullah SAW segera turun dari atas mimbar dan memeluk batang pokok itu. Pokok itu menangis seperti seorang bayi dan Rasulullah SAW telah memujuknya supaya diam.

Jabir r.a. selanjutnya berkata, "Batang pokok kurma itu juga menangis bila mendengar orang membaca zikir atau mendengar al-Quran dibacakan di hadapannya." (Riwayat Bukhari)

Sementara Tufail bin Ubai bin Ka'ab meriwayatkan daripada ayahnya, ayahnya bercerita, dahulu Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya dengan bersandar di sebatang pokok kurma. Ketika itu, masjid nabi hanyalah sebuah ruangan kosong sahaja. Seorang lelaki mencadangkan kepada baginda, "Ya Rasulullah, adakah engkau setuju jika kami membuat sebuah mimbar untukmu? Engkau boleh berdiri di atas mimbar itu pada hari Jumaat dan orang ramai dapat mendengar khutbahmu?" Baginda menjawab: "Ya."

Satu hari, pada hari Jumaat, nabi SAW ingin menyampaikan khutbahnya. Ketika baginda SAW melintasi pokok kurma yang biasa digunakan untuk bersandar ketika berkhutbah, tiba-tiba pokok kurma itu menangis dan meratap hiba. Nabi SAW turun dari mimbar dan mengusap pokok itu sehingga diam. Lalu, baginda SAW kembali ke atas mimbar untuk menyampaikan khutbah.

Ketika masjid nabi dibina kembali untuk dibesarkan, Ubai bin Ka'ab mengambil tunggul  pokok kurma itu. Tunggul pokok itu terus berada di rumahnya sehinggalah reput dan habis di makan zaman. ( Riwayat Baihaqi).

~ Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW. Hanya dengan cara itu kita akan sentiasa mengingati baginda SAW.

No comments:

Post a Comment