PADA SUATU HARI

Friday, November 7, 2014

Pengislaman Pengemis Buta

Di satu sudut pasar Madinah Munawarah, ada seorang pengemis Yahudi buta minta simpati orang ramai. Apabila ada orang mendekatinya, dia akan berkata, "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia adalah seorang pembohong, orang gila dan ahli sihir. Jika kamu mendekatinya kamu akan dipengaruhinya. "

Namun, tanpa disedari olehnya, Rasulullah SAW yang selalu mendatanginya setiap pagi dengan membawa makanan. Malah Rasulullah SAW sendiri menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu, tanpa bersuara. Walaupun pengemis itu selalu memburukkan baginda, baginda tetap membawa makanan dan menyuapnya kepada pengemis itu sehinggalah baginda wafat. Sejak itu tidak ada lagi orang yang membawakan makanan kepada pengemis itu.

Pada satu hari khalifah Abu Bakar berkunjung ke rumah anaknya, Siti Aisyah. Beliau bertanya kepada anaknya, "Wahai anakku , adakah sunnah kekasihku Muhammad yang belum aku lakukan ?"

Siti Aisyah menjawab , "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah sahaja. "

"Apakah itu, anakku ?" tanya khalifah Abu Bakar. "

"Setiap pagi, Rasulullah SAW selalu pergi ke satu sudut pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," jelas Siti Aisyah.

Keesokan harinya, khalifah Abu Bakar pun pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu.  Baginda menghampiri pengemis itu dan menyuapkan makanan itu kepada si pengemis itu Bagaimanapun pengemis itu marah dan berteriak, "Siapakah kamu?"

"Akulah orang yang biasa mendatangimu dan menyuapmu," kata khalifah Abu Bakar.

"Tidak ! Engkau bukanlah orang yang biasa mendatangiku. Orang yang mendatangiku, apabila dia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah kerana makanan tersebuat telah dilembutkan dengan tangannya terlebih dahulu. Orang itu sendiri menyuapku," jelas pengemis itu.

Sayidina Abu Bakar tidak dapat menahan kesedihan lalu menangis sambil berkata, "Aku memang bukan orang yang biasa datang menemuimu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya. Orang yang mulia itu telah tiada lagi. Dia ialah Muhammad, Rasulullah SAW."

Selepas mendengar cerita khalifah itu, si pengemis Yahudi buta pun menangis dan menyesal kerana telah meburuk-burukkan Rasulullah SAW kepada semua orang. Akhirnya, pengemis tersebut memeluk Islam di hadapan khalifah Abu Bakar.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya." (al-Hujurat:12)

No comments:

Post a Comment