PADA SUATU HARI

Wednesday, September 18, 2013

Memerang Berjasa

Pada zaman dahulu ada seorang penangkap ikan bernama Pak Sukun. Dia menangkap ikan di Lubuk Sena dengan menggunakan jala.

Pada suatu hari, Pak Sukun terjumpa ibu memerang yang sedang mencari ikan dengan dua ekor anaknya. Pak Sukun tertarik dengan anak memerang itu. Dia pun menangkap seekor daripadanya.

Pak Sukun hidup sebatang kara. Dia menjadikan anak memerang itu sebagai kawan baiknya. Setiap kali dia pergi ke Lubuk Sena, Pak Sukun membawa anak memerang dan mengajarnya menangkap ikan.

Setelah anak memerang itu dewasa, kepandaiannya dalam menangkap ikan amatlah luar biasa.

Pak Sukun tidak menggunakan jala lagi. Dia menyuruh memerangnya sahaja menangkap ikan.

Pak Sukun menjadi malas dan tinggal di rumah sahaja.

Tidak berapa lama kemudian, Pak Sukun tidak puas hati dengan memerangnya. Memerang itu tidak lagi berjaya menangkap banyak ikan.

Pak Sukun memukul memerang dengan sebatang kayu.

Memerang cedera teruk di badan tetapi ia tetap setia kepada Pak Sukun. Setelah tiga hari berturut-turut memerang itu gagal membawa pulang ikan, Pak Sukun semakin berang.Dia memukul memerangnya hingga mati.

Kerana tiada berwang, Pak Sukun pergi menjala ikan di Lubuk Sena. Dia berasa sungguh hampa kerana lubuk itu tenang sahaja. Tiada lagi ikan bermain di permukaan air yang jernih. Tahulah Pak Sukun bahawa lubuk itu sudah tiada ikan lagi.

Maka hidup Pak Sukun pun dirundung malang. Dia sentiasa berdukacita. Dia menyesal tidak sudah. Demikianlah balasan orang yang hidup tidak mengenang jasa makhluk lain.

No comments:

Post a Comment