PADA SUATU HARI

Thursday, November 29, 2012

Rasulullah SAW Sayang Kepada Haiwan

Gambar sekadar hiasan.Pada suatu hari, Rasulullah SAW melalui sebuah kebun kepunyaan seorang Ansar. Di dalam kebun itu, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang mengerang kesakitan sehingga mengeluarkan air mata. Lalu, Rasulullah SAW mendekati dan mengusapkan tangannya ke atas belakang unta itu. Tidak berapa lama kemudian, datanglah seorang pemuda Ansar iaitu pemilik unta tersebut. Pemuda itu berkata: " Unta itu adalah milikku, wahai Rasulullah."

Rasulullah SAW bertanya: "Adakah kamu tidak takut kepada Allah yang telah memberimu unta ini? Sesungguhnya unta ini telah mengadu kepadaku bahawa engkau telah membiarkannya kelaparan dan  memaksanya melakukan pekerjaan yang berat."

Dalam suatu kisah yang lain pula, Rasulullah SAW melihat beberapa orang sahabat sedang membakar sarang semut. Lalu Rasulullah SAW bertanya: "Siapakah yang membakar ini?" Maka para sahabat pun mengaku bahawa merekalah yang membakarnya. Lalu, Rasulullah SAW berkata: "Yang layak menyeksa dengan api hanyalah Tuhan kepada api (iaitu Allah) sahaja."

Rasulullah SAW juga sering menasihati sahabat-sahabat baginda agar sentiasa berhati-hati semasa mencukur bulu biri-biri agar jangan sampai menyakiti atau melukai tubuh haiwan tersebut. Rasulullah SAW tidak melarang kita memancing ikan atau berburu binatang, tetapi Rasulullah SAW melarang kita berburu untuk tujuan suka-suka dan bukannya untuk dimakan. Rasulullah SAW pernah menasihati para sahabatnya:             "Sesiapa yang membunuh seekor burung secara sia-sia (Bukan untuk dimakan), burung itu akan datang kepada Allah pada hari kiamat dan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya orang ini telah membunuhku secara sia-sia dan dia tidak membunuhku untuk mengambil manfaat dariku."

Cerita-cerita di atas menggambarkan betapa halusnya perasaan kasih dan sayang Rasulullah SAW terhadap haiwan. Rasulullah SAW telah membawa rahmat kepada seluruh makhluk di dunia ini. Ajarannya tidak hanya melindungi hak-hak manusia sahaja, tetapi juga melindungi hak-hak haiwan yang juga dicipta oleh Allah Yang Maha Besar.

No comments:

Post a Comment