PADA SUATU HARI

Monday, July 29, 2013

Puteri Naga Menjadi Pulau

Kononnya di dalam Laut Cina Selatan, ada beberapa ekor naga. Antaranya ialah Puteri Naga dan suaminya. Mereka baru sahaja berkahwin.

Pada suatu hari, Puteri Naga berkata kepada suaminya: "Kakanda, marilah kita pergi bersiar-siar."


"Ke mana?" tanya suaminya.

"Ke laut sebelah selatan,"jawab Puteri Naga.

Suaminya setuju. Mereka pun berenag-renang dengan gembira. Mereka berenang menuju ke selatan. Tiba-tiba Puteri Naga teringat sesuatu. Dia pun berkata kepada suaminya : "Kakanda, selendang pengantin kita tertinggal. Apa yang perlu kita buat?"

Suami Puteri Naga terdiam. Dia lihat tubuh isterinya. Selendang pengantin itu tiada.

"Adinda hendak berpatah balik. Adinda hendak ambil semula selendang itu. Kakanda tunggu di sini hingga adinda datang semula," pinta Puteri Naga.

Suami Puteri Naga setuju dengan cadangan itu. Ia pun berkata : "Baiklah, kakanda tunggu di sini tetapi jangan lama-lama."

Puteri Naga berenang semula ke utara. Ia berenang dengan laju. Ia tidak mahu suaminya menunggu lama. Setelah sampai ia pun menyambar selndang itu. Kemudian ia berenang semula ke selatan. Tidak lama kemudian, ia pun sampai. Alangkah terkejutnya ia. Suaminya sudah tiada di situ.

"Ke manakah suamiku? Mengapakah dia tinggalkan aku?" kata Puteri Naga.

Namun begitu, Puteri Naga tidak berputus asa. Ia berenang ke sana sini mencari suaminya. Setelah puas mencari-cari, suaminya masih tiada. Puteri Naga berasa penat dan sedih.Ia pun mendiamkan  diri. Air matanya mengalir.

"Suamiku mungkir janji. Tetapi aku akan tunggu di sini sampai bila-bila," katanya dengan hampa. Dia mendakap selendang pengantinnya.

Setelah beberapa lama di situ, Puteri Naga berubah menjadi pulau. Tubuhnya yang hijau menajdi pohon-pohon-pohon dan hutan. Di dalam hutan itu pula ada seekor burung tiom.

Suaranya amat nyaring. Ia sering menyanyi-nyanyi. Ia menyayikan lagu kisah sedih Puteri Naga itu. Tujuannya supaya orang sentiasa ingat akan kisah itu. Akhirnya pulau itu dinamakan Tioman. Bentuknya seperti seekor naga tidur.

Saturday, July 27, 2013

Gagak dan Bangau

Dahulu burung gagak bersahabat baik dengan burung bangau. Kedua-duanya selalu mencari makan bersama.Mereka terbang ke danau yang jernih airnya. Mereka hinggap di kawasan hutan yang subur menghijau. Kadang-kadang mereka juga mencari makan di kawasan bukit.

Pada waktu itu, bulu bangau tidak putih sebagaimana sekarang. Bulunya hitam legam dan tidak menarik.Sebaliknya bulu gagak putih berkilat. Pada suatu hari, bangau bertanya kepada gagak tentang rahsia bulunya yang cantik itu.

"Kita telah lama bersahabat. Patutlah engkau memberitahu aku rahsia kecantikan bulu engkau," kata bangau. "Bolehkah bulu aku yang hitam ini bertukar menjadi putih seperti engkau?" tanya bangau lagi.

"Aku boleh beritahu tentang rahsia bulu aku. Tetapi engkau mestilah berjanji supaya tidak memberitahu sesiapa pun," kata gagak.

Setelah berteguh-teguh janji, gagak pun memberitahu rahsia kecantikan bulunya.

"Apabila selesai menggunakannya nanti hendaklah engkau pulangkan kepada aku," kata gagak.

Bangau bersetuju dengan syarat gagak itu.

Benarlah sebagaimana yang dikatakan oleh gagak. Bangau dengan hati-hati mencampurkan warna yang diberikan oleh gagak. Kemudian ia menyiramkan warna campuran itu kepada bulunya. Dengan sekelip mata warna bulu bangau menjadi putih perak berkilat.

Bangau sangat gembira melihat bulunya yang cantik. Padanya, ialah burung yang tercantik di dunia. Terfikir pula ia di dalam hati bahawa kaum bangau mestilah menjadi burung yang tercantik. Bangau juga berfikir bahawa kaumnya mestilah merupakan burung yang putih sekali dalam dunia.

Ia lupa kepada janji dan budi baik gagak terhadapnya.Apabila sampai masa memulangkan warna itu kepada gagak, ia sengaja buat-buat lupa.

"Engkau mesti pulangkan kepada aku campuran warna itu," kata gagak.

Bangau pulang ke sarangnya. Ia mencampurkan warna itu hingga menjadi hitam legam. Setelah siap campuran warna itu, bangau pun pergi mencari gagak.

"Manakah warna yang kita janjikan itu?" tanya gagak kepada bangau.

Dengan serta-merta bangau mengambil warna campuran warna hitam yang dibawanya. Ia menyiramkan warna itu ke badan gagak. Apalagi, bulu gagakyang putih itu bertukar menjadi hitam legam.

"Mengapakah engaku lakukan ini?" tanya gagak. Ia amat marah.

"Aku mahu menjadi burung tercantik di dunia. Aku tidak mahu ditandingi oleh mana-mana burung, termasuk kamu."kata bangau.

Gagak sangat marah apabila mendengar kata-kata itu. Ia segera mengejar bangau yang hendak melarikan diri.

Sejak itulah bulu gagak hitam legam dan tidak cantik. Sebaliknya bulu bangau putih berkilat dan cantik. Sejak hari itu juga gagak sentiasa memusuhi bangau. Kedua-duanya tidak boleh bertemu, tentu bangau dan gagak akan berkelahi.

Tujuh Saudara Selamatkan Kampung

Pada zaman dahulu, ada seekor ular yan
g sangat besar diam di sebatang alur. Ular itu sentiasa menyusur dari hulu ke kuala. Hampir setiap purnama, seorang penduduk yang tinggal di tepi sungai mati dibelit oleh ular itu.

Penduduk kampung memanggil ular itu 'ular bidur'. Apabila hujan panas, ular itu akan berbunyi macam geruh lembu. Lalu penduduk menamakannya 'ular lembu'.

Dengan takdir Allah, datanglah tujuh orang lelaki berbangsa Siam ke kampung itu.

"Kami bertujuh datang hendak menolong tuan-tuan. Kami sudah mendengar khabar bencana yang menimpa kampung tuan-tuan," kata abang yag tua.

Tujuan mereka itu disambut dengan baik oleh sekalian penduduk.

Esoknya, mereka mencari ular ganas itu. Apabila terlihat sahaja di permukaan air, mereka terus terjun hendak menangkapnya. Malangnya, ular itu sangat bisa. Enam daripada mereka jatuh pengsan.

"Pada hambalah sekarang," kata adik yang bongsu. Mukanya merah padam kerana marah kepada ular itu. Dia menyusur perjalanan ular itu hingga masuk ke dalam baruh padi. Dia memasang jerat pada muka batas sawah itu.

Dengan bantuan orang kampung, ular ganas itu masuk perangkap yang dibuat oleh adik bongsu. Ular itu dipukul oleh sekalian penduduk. Akhirnya ular itu mati.

Beberapa hari kemudian, enam saudara yang pengsan itu pulih. Mereka mengambil keputusan untuk menetap di kampung itu.

Saturday, July 13, 2013

Hantu Bota

Pada zaman dahulu, ada seekor binatang yang sungguh besar. Penduduk kampung memanggilnya Hantu Bota.

Hantu Bota mempunyai kaki yang panjang lagi besar. Apabila Hantu Bota berdiri, ia akan mengangkangkan kakinya. Sebelah kakinya diletakkan di tebing kiri sungai. Sebelah lagi kakinya diletakkan di tebing kanan sungai.

Ekor Hantu Bota panjang sampai ke hulu sungai.

Pada suatu hari, Hantu Bota jatuh sakit. Orang yang tinggal di sepanjang sungai terkejut dengan berita itu.

Penyakit Hantu Bota semakin tenat. Dari hari ke hari, badannya semakin lemah. Ia tidak berdaya lagi untuk bergerak. Kakinya terkedang di dua bahagian sungai itu.

Akhirnya Hantu Bota pun mati. Selepas itu, kedua-dua tebing sungai itu dinamakan orang Bota Kanan dan Bota Kiri. Bota Kanan sempena kaki kanan Hantu Bota yang terletak di tebingnya. Sementara di tebing kiri diberikan nama Bota Kiri.

Tempat di mana ekor Hantu Bota itu tercecah d
iberikan mana Ekor Bota. Ekor Bota ialah sebuah perkampungan yang terletak di dalam kawasan Bota Kiri.

Sehingga hari ini, ketiga-tiga tempat sempena kisah Hantu Bota itu masih wujud.Kampung-kampung ini terletak di tebing Sungai Perak.